Sunday, June 9, 2019

BAB 5: PENGURUSAN MURID


Pengurusan sebagai satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai (Jaafar Muhammad, 1998). Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya disesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan. Di dalam pengurusan murid terdapat tiga elemen penting iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.

 1) Mengurus Rekod Murid.

Terdapat dua aplikasi utama yang sangat penting dalam membantu guru untuk mengurus data dan maklumat dengan lebih cekap dan bersistematik. Antaranya ialah Sistem Analisis Peperiksaan  Sekolah (SAPS). SAPS atau sistem analisis peperiksaan sekolah dirangka bagi menjalankan fungsi sebagai pusat pengumpul, penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman setiap sekolah di seluruh Malaysia. Sistem ini berfungsi hanya di dalam talian (online) yang boleh dicapai oleh pihak tertentu seperti KPM, JPN, PPD dan sekolah. Penyediaan pusat data yang berpusat ini memberi kemudahan dan boleh digunakan oleh pihak KPM, JPN dan PPD untuk membuat perbandingan,
analisis ataupun mengenalpasti kelemahan yang ada untuk diperbaiki.



Aplikasi yang kedua ialah Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS). Sistem SPPBS ini dibangunkan secara dalam talian dan digunakan dikalangan guru Malaysia bagi memudahkan proses kemaskini serta memasukkan data prestasi murid berdasarkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di bawah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani), psikomotor (jasmani) dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


 2) Kesediaan Murid Belajar 

pembelajaran di dalam bilik darjah hanya akan berlaku sekiranya wujud kesediaan. Kesediaan ini merangkumi tiga bahagian iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Kesediaan kognitif merujuk kepada peringkat perkembangan mental untuk menerima rangsangan dan memahaminya. Kesediaan afektif pula merupakan sikap dan minat pelajar terhadap sesuatu pelajaran. Manakala, kesediaan psikomotor merupakan kesediaan fizikal dan psikomotor kasar dan halus pelajar untuk menjalani latihan yang menggunakan fungsi tubuh badan sebagai penggerak utama. Penguasaan kesediaan psikomotor bergantung kepada kesediaan kognitif serta kesediaan afektif pelajar.

3) Memotivasikan Murid

Motivasi ialah proses menghasilkan tenaga oleh keperluan yang diarahkan untuk mencapai sesuatu matlamat. Seseorang yang mempunyai motivasi bermakna ia telah memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan. Terdapat dua jenis motivasi iaitu motivasi instrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi Instrinsik ialah dorongan dan minat yang terdapat pada diri seseorang pelajar untuk melakukan sesuatu tanpamengambil kira ganjarannya. Dengan itu, teknik motivasi instrinsik berkait dengan sifat semula jadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam pembelajaran. Manakala, motivasi ekstrinsik ini direka cipta oleh faktor luaran seperti ganjaran dan dendaan. Punca motivasi wujud daripada persekitaran (Woolfolk, 2006). Motivasi ekstrinsik berkait dengan unsur luaran yang tidak semula jadi dengan pembelajaran. Ganjaran yang nyata seperti pujian, hadiah, markah, gred, wang, pengiktirafan berbentuk sijil dan penghargaan diberikan kepada mereka yang berjaya mencapai prestasi baik atau melakukan sesuatu tugasan atau aktiviti yang diamanahkan.

Kesimpulannya, semua sekolah mestilah mempunyai sistem yang sistematik dalam menguruskan murid di sekolah supaya teratur dan mudah diuruskan. Dalam menguruskan murid bukan sahaja mengenai maklumat mengenai murid, malahan cara guru untuk digunakan dalam pengajaran yang bersesuaian kepada murid-muridnya untuk menimbulkan rasa minat terhadap mata pelajaran yang diajar. Seterusnya, memotivasikan pelajar juga penting untuk memberi semangat kepada murid untuk sentiasa minat untuk belajar dan dapat meningkatkan pencapaian prestasi akademik setiap murid.

No comments:

Post a Comment

BAB 14 : PENGURUSAN PENDIDIKAN PENCEGAHAN DADAH

"Penyalahgunaan dadah wajar didedahkan kepada pelajar peringkat rendah"...